PENUBUHAN MAJLIS BELIA DAERAH DAN MAJLIS BELIA BAHAGIAN, SEKRETARIAT MAHASISWA, SEKRETARIAT SAHABAT MBS, DAN PENETAPAN HAD UMUR BELIA.

 

 

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS BELIA SABAH (MBS)

07 OKTOBER 2022

 

PENUBUHAN MAJLIS BELIA DAERAH DAN MAJLIS BELIA BAHAGIAN, SEKRETARIAT MAHASISWA, SEKRETARIAT SAHABAT MBS, DAN PENETAPAN HAD UMUR BELIA.

 

Majlis Belia Sabah (MBS) menerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sabah Sidang-2 Penggal Ke-33 bagi sesi 2021-2022, pada 6 Oktober 2022 melalui ucapan presiden telah mengumumkan 4 perkara yang menjadi intipati utama di dalam persidangan pada kali ini.

 

Majlis Belia Daerah dan Majlis Belia Bahagian.

Penubuhan Majlis Belia Daerah dan Majlis Belia Bahagian kini berada pada fasa akhir sebelum dilaksanakan di setiap daerah dan bahagian di negeri Sabah. Pendekatan ini diambil oleh MBS bagi meningkatkan tahap penglibatan belia terutamanya di peringkat akar umbi dalam usaha membangunkan golongan belia di Sabah.

Negeri-negeri di Semenanjung sebelum ini telah menubuhkan Majlis Belia Daerah dan Majlis Belia Bahagian yang antara lain bertindak sebagai pembantu kepada agensi kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan negara selain menggerakkan belia dengan lebih efisien dengan jumlah peruntukan RM30,000 setahun daripada Kementerian Belia dan Sukan dalam bentuk geran pentadbiran.

Mengambil kira tahap keterlihatan badan ini sebagai wadah utama perjuangan belia di Sabah yang begitu suram di kalangan belia akar umbi memperlihatkan betapa penting dan segeranya langkah ini diambil bagi mengurus keperluan dan masa depan belia dengan lebih cekap.

Pihak MBS dalam masa terdekat akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Belia dan Sukan, dan Kementerian Belia dan Sukan bagi memuktamadkan perlaksanaan agenda ini.

 

Sekretariat Mahasiswa dan Sekretariat Sahabat MBS

Penubuhan Sekretariat Mahasiswa dan Sekretariat Sahabat MBS menyasarkan penglibatan belia seramai 200,000 ribu orang daripada belia di IPT/IPTS, dan 300,000 orang daripada organisasi berteraskan pembangunan belia yang berdaftar di bawah ROS, PJS, dan lain-lain.

Angka tersebut jika ditambah dengan keahlian MBS pada ketika ini iaitu seramai 250,000 orang bakal meliputi 30% daripada jumlah keseluruhan belia di negeri ini iaitu seramai 2.2 juta orang. Ini merupakan sasaran MBS dalam memastikan sekurang-kurangnya satu per tiga belia di Sabah terlibat di dalam aktiviti berpersatuan.

Penubuhan Sekretariat Mahasiswa dan Sekretariat Sahabat MBS juga bertujuan untuk meningkatkan keupayaan MBS dalam menggerakkan pembangunan golongan belia berdasarkan isu, keperluan, dan masalah berdasarkan segmen dengan lebih berkesan.

 

Penetapan Had Umur Belia

MBS sentiasa menyokong dasar peremajaan kepimpinan belia, pendayaupayaan orang muda, dan pelan transisi kepimpinan muda.

Namun, maklumbalas yang diterima sepanjang siri jelajah MBS yang dijalankan di setiap bahagian di negeri Sabah baru-baru ini mendapati 80% pimpinan belia belum bersedia melalui fasa transisi kepimpinan berdasarkan literasi kepimpinan yang masih rendah dalam kalangan belia berumur 15-30 tahun.

Justeru, MBS berpendirian bahawa takrif umur belia perlu dikekalkan kepada 15-40 tahun sehingga ke suatu tempoh yang relevan setelah terlaksananya Pelan Peralihan Kepimpinan Belia dan Pelan Transisi Kepimpinan di peringkat akar umbi agar tahap mandiri pertubuhan-pertubuhan belia sedia ada dapat dikekalkan pada saat takrif umur belia Malaysia 15-30 tahun dikuatkuasakan.

Penangguhan penguatkuasaan had umur belia oleh YB Menteri Belia dan Sukan amat bermakna memandangkan Majlis Belia Sabah pada ketika memerlukan masa yang cukup untuk memperkasakan golongan belia berumur 15-30 tahun bagi tujuan tersebut.

 

 

 

BELIA PEWARIS KEPIMPINAN NEGARA

 

ABQAREE FAWWAZ ABEKAN

PRESIDEN

MAJLIS BELIA SABAH (MBS)

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close