19 Oktober 2019 – Ucapan Dasar Presiden Majlis Belia Sabah Di Mesyuarat Perhimpunana Agung Tahunan Majlis Belia Sabah Kali Ke-23

SUKU ABAD MBS:
MEMIMPIN LEDAKAN PERUBAHAN ZAMAN,
REJUVINASI MATLAMAT PERJUANGAN

PENDAHULUAN

Barangkali ini pertama kali Majlis Belia Sabah melaksanakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) di Universiti. Dan barangkali dalam kalangan perwakilan ada yang tertanya – tanya kenapa pada tahun keramat, 25 Tahun Sambutan Jubli Perak MBS, MPAT dilaksanakan di Universiti Awam. Suka untuk kami menjustifikasi keputusan ini dengan 4 perkara; Pertama, Universiti adalah sumber ilmu. Kedua mahasiswa adalah “a microcosm of the society”. Ketiga Universiti melahirkan “critical mass leaders”. Yang keempat adalah; tradisi Universiti mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat dan membela nasib mereka. (Jufitri Joha, 2019)

MPAT adalah wadah pertemuan keluarga besar MBS yang bakal menentukan kejayaan pembinaan generasi. Kita sewajarnya memanfaatkan pertemuan ini sebagai ruang untuk realign matlamat yang dikongsi bersama. Adalah sangat kritikal bagi MBS dan badan gabungannya untuk menerima hakikat yang tidak tersangkalkan lagi bahawa kita sedang berada dalam  ‘zaman perubahan’ (the age of change). Tanpa sikap adaptif terhadap perubahan zaman, badan induk pertubuhan belia terbesar di Sabah bakal berhadapan dengan gejala kerendahan hemah dan ketumpulan rasionaliti.

Sidang Perwakilan Yang Dimuliakan

LEDAKAN PERUBAHAN ZAMAN

Meskipun kekuatan MBS cuma mewakili lebih kurang 17 – 20% populasi belia Sabah, MBS sebenarnya mempunyai peranan signifikan kepada belia Sabah secara total. Berdasarkan Prinsip Pareto, usaha yang digerakkan oleh kelompok 20% akan memberi impak kepada 80% yang berbaki. Tidak salah untuk dikatakan bahawa MBS sebenarnya bukan hanya berperanan dalam kalangan ahli badan gabungan, malah berjasa dan bertanggungjawab dalam membangun belia Sabah secara keseluruhan baik di bandar mahupun luar bandar.

Atas faktor ini, MBS perlu sentiasa memimpin dinamika ledakan perubahan zaman untuk kekal relevan dalam menjadi juru bicara belia Sabah. Donald R. Keough , Mantan Presiden Syarikat Gergasi Coca Cola dalam buku karangannya; The Ten Commandments for Business Failure menyenaraikan 11 „perintah’ yang berupaya menggagalkan sesebuah organisasi antaranya adalah:

    1. Mencintai Birokrasi (Love Your Bureaucracy)
    2. Berhenti Mengambil Risiko (Quit Taking Risks)
    3. Takut Akan Masa Hadapan (Be Afraid of the Future)
    4. Hilang Semangat (Lose Your Passion for Work- For Life)

Dalam era perniagaan kereta sewa tidak lagi memiliki kereta dan penyedia penginapan tidak lagi memiliki hotel, pergerakan belia perlu seiring atau yang lebih wajar; dihadapan perubahan zaman. Kolaborasi dan sinergi sewajarnya menjadi kunci utama dalam apa jua penganjuran program pembangunan belia. MBS seharusnya menjadi contoh terbaik sebagai role model oraganisasi yang diurus sendiri oleh anak muda. Sudah tiba masanya badan gabungan MBS berhenti bergerak secara silo. Kita semua sedia maklum bahawa tiap badan gabungan mempunyai niche masing – masing. Oleh sebab itulah, dalam keluarga besar MBS ini sebenarnya kita boleh mengatasi kekurangan dan melengkapi antara satu sama lain. Business is no longer as usual! MBS tidak boleh menjadi „Nokia‟ dalam industri, MBS perlu bergerak diluar kebiasaan!

Dunia kini membincangkan Revolusi Industri 4.0 dan Society 5.0. Dijangkakan terdapat beberapa kursus di universiti akan tidak lagi relevan dalam masa terdekat. Gerakan belia pula bagaimana? kita seharusnya melazimi Big Data dan Data Crunching. Bagaimana kita membezakan output dan outcome sesebuah program? Bagaimana kita menilai keberkesanan program? Adakah kita berjaya memikat hati remaja zaman kini untuk menjadi pelapis kita? Dunia digital yang penuh dengan nombor dan fakta sepatutnya menjadikan kita lebih efisien dan optima. Seharusnya dengan kecanggihan teknologi, kumpulan sasaran kita lebih tepat, isu yang diangkat betul – betul berada dalam denyut nadi belia dan solusi yang ditawarkan pula betul – betul merawat.

Sidang Perwakilan Yang Dimuliakan,

NEW POWER VS OLD POWER

Pertembungan antara Kuasa Baharu (New Power) dan Kuasa Lama (Old Power) ini tidak dapat dielakkan (inevitable). New Power sudah merubah kaedah advokasi dilaksanakan diseluruh dunia. Gerakan – gerakan perubahan tidak lagi perlu bermesyuarat sebelum mencapai kata putus. Malah, hieraki kepimpinan juga tidak ada; it’s a leaderless movement. Polisi sesebuah negara boleh diubah dengan hanya menggunakan ‘hashtag’. Akan tetapi, gerakan ini cukup berkesan!

“Yet the rise of New Power is shifting people’s norms and beliefs about how the world should work and where they should fit in.” (Timms & Heimans, New Power, 2018).

New Power ini sinonim dikaitkan dengan golongan Milenial manakala Old Power pula sinonim dengan Gen X dan Gen Y (1977 – 1995). Persoalannya, berlakukah pertembungan dua kuasa ini dalam organisasi kita? Dan lebih kritikal lagi, adakah kita membuka ruang seluas – luasnya kepada New Power untuk memimpin dan berkarya? ataupun mereka diketepikan secara terhormat? Sekiranya golongan ini terus menerus di anggap sebagai rebellious atau ancaman kepada kepimpinan Old Power, terbit kerisauan akan kesinambungan organisasi yang sudah pun mencapai umur 25 tahun ini.

#BeliaSabahOKBah #SayangiNyawa

Baru – baru ini MBS melancarkan pertandingan Video Kreatif Instagram bertemakan #SayangiNyawa dan #BeliaSabahOKBah bersempena sambutan Bulan Kesihatan Mental Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah. Negeri di Bawah Bayu ini menjuarai tempat pertama
statistik pesakit mental dalam Malaysia. Hal kesihatan mental ini semakin meruncing zaman kini hingga dinobatkan sebagai pembunuh No.2 rakyat Malaysia selepas sakit jantung. Lebih merisaukan apabila kutipan data yang MBS lakukan apabila berprogram di sekolah – sekolah menengah menunjukkan lebih 60% daripada peserta, mempunyai rakan yang mengakui ingin membunuh diri dan telah pun mengelar tangan dengan tujuan self-harming.

Generasi Milenial ataupun Generasi Z merupakan kumpulan anak muda yang sangat progresif dan informatif. Syukur belia Malaysia belum lagi diserang wabak Hikikomori (Social Withdrawal) seperti yang berlaku di Jepun. Meskipun generasi milenial adalah „warganet‟ yang
aktif, mereka masih bersosial di alam nyata. Namun begitu, dengan lambakan maklumat dan kumpulan atas talian, ianya boleh menyumbang kepada gejala kesihatan mental yang tidak sihat. Atas faktor kesibukan ibu bapa dan ahli keluarga lain, mereka menghabiskan banyak masa atas talian. Pada suatu tahap, warga maya menjadi sistem sokongan mereka. Sekiranya sistem sokongan itu positif, impaknya baik. Jika sebaliknya bagaimana?

Justeru, MBS berserta badan gabungan perlu agresif merancang dan melaksana program – program atas talian terutamanya yang mengetengahkan nilai kasih sayang dan kekeluargaan. Gerakan belia perlu terlibat sebagai digital content creator bagi memastikan terdapat kepelbagaian kandungan positif dalam internet. Wajar untuk dicadangkan, pelaksanaan program online dan offline perlu direncanakan sama penting. Jika perlu jadikan media sosial sebagai tempat merekrut, silakan. Jika perlu jadikan aplikasi Tik Tok sebagai tempat mendidik anak muda dengan nyanyian dan lakonan, silakan!

PENDIDIKAN DEMOKRASI

Sabah sememangnya terkenal sebagai sebuah negeri yang sangat terbuka dengan politik. Sejarah membuktikan pertukaran kerajaan negeri itu normal untuk Sabah. Dengan penurunan had umur mengundi dan had umur calon pilihanraya daripada 21 tahun kepada 18 tahun, belia sebagai kumpulan umur yang terbesar dalam senarai pemilih perlu dipersiapkan dengan pendidikan demokrasi dengan naratif politik Sabah agar dapat berperanan secara signfikan ketika menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi mahupun sebagai calon wakil rakyat.

“Malaysia Baharu tersirat makna segunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direasliasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya” (Dato Dr. SiddiqFadzil, 2018)

Atas kesedaran dan keperluan untuk melihat kemajuan buat Sabah khususnya dan Malaysia amnya, belia Sabah seharusnya bertindak di atas kepentingan politik kepartian. Parti politik cukup sebagai alat (Tools) dalam menjayakan proses demokrasi, akan tetapi, apabila bicara
hal pembangunan belia, democratization of education, kesejahteraan ekonomi dan kebajikan rakyat , ianya tiada kompromi. Politik kepartian perlu ditinggalkan di belakang.

Sidang Perwakilan Yang Dimuliakan,

MANDIRI EKONOMI PERTUBUHAN BELIA

Jasa pengorbanan para senior terdahulu telah menjadikan MBS bersama badan gabungan sebagai rakan strategik yang dipercayai oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah. Setakat ini MBS dan badan gabungannya belum pernah lagi diuji dengan cabaran penarikan dana mahupun pengurangan dana. Namun begitu, ada baiknya kita bersiap siaga mendepani cabaran mendatang. Adakah kita mampu mandiri sekiranya tiada sokongan daripada kementerian? Selepas 25 tahun berkhidmat pada anak muda Sabah, apa perancangan ekonomi kita? Bagaimana untuk MBS dan badan gabungan terus bergerak tanpa bantuan kementerian? Apa backup plan kita?

Franklin D. Roosevelt pernah mengungkapkan; “A smooth sea never made a skilled sailor”. Tanpa mehnah dan tribulasi, sesebuah organisasi tidak akan tumbuh kuat. Tapi tidaklah kita berdoa untuk diuji. Oleh hal yang demikian, saya mewakili kepimpinan MBS, menyeru untuk setiap daripada badan gabungan agar membudayakan tadbir urus yang baik (good governance) terutamanya dokumentasi program dan rekod kewangan. Kepercayaan kementerian kepada kita tidak wajar diambil ringan. Ianya adalah amanah yang perlu dijaga dan dihormati sebaiknya.

REJUVINASI MATLAMAT PERJUANGAN

VISI
Mendidik AKAL BUDI Membina JATI DIRI belia berdasarkan NILAI BUDAYA MALAYSIA
Mencapai KEBAHAGIAAN HAKIKI Mengukuhkan JARINGAN dan INTEGRASI

MISI
Melahirkan belia BERILMU dan BERMANFAAT kepada masyarakat

Usaha kolektif yang kita gerakkan bersama melalui sebuah majlis yang dikenali sebagai MBS ini bukanlah sekadar mengisi masa lapang atau sekadar ruang escapism. Akan tetapi merupakan tuntutan yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Oleh sebab itu, kita harus terus berharap (hopeful) yang terbaik untuk anak muda Sabah dan terus bekerja secara efisyen dan berkesan di lapangan. Saya rumuskan ucapan dasar sulung ini dengan kata – kata Saidina Ali R.A; “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda – pemudianya hari ini”.

Salam Belia Sabah Berwibawa!

Download file pdf here: Ucapan Dasar Presiden MBS MPAT 2019

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close