TEKS UCAPAN DASAR PRESIDEN MAJLIS BELIA SABAH SEMPENA MPAT KALI KE-24/2021

[SALUTASI]
Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera, Salam Belia Sabah Berwibawa.
Pertemuan tahunan kita yang tertangguh dek hambatan penularan wabak Covid-19 ternyata menambahkan lagi rasa penghargaan dan rasa rindu antara satu sama lain. Ianya suatu perasaan yang sangat membahagiakan apabila dapat bersua muka dengan saudara – saudari sekalian. Saya mewakili kepimpinan Majlis Belia Sabah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sidang perwakilan dan pemerhati yang meluangkan masa dan memberi komitmen penuh bagi menjayakan MPAT Kali Ke-24 bagi tahun 2021.
Selain daripada pelaporan dan pembentangan usul, Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) menetapkan agenda khas yang sangat penting iaitu Ucapan Dasar Presiden. Penyampaian ucapan ini bukanlah semata – mata mengisi agenda mesyuarat, akan tetapi berperanan sebagai penentu hala tuju dan pendasaran gerak kerja bagi tahun yang seterusnya. Ucapan Dasar Presiden harus diwacanakan dalam kalangan badan gabungan dan juga pergerakan belia diakar umbi. Ucapan dasar sewajarnya diihadam dan diterjemah dalam bentuk “action plan” agar betul – betul berkesan dan tidak cuma menjadi bahan arkib semata.
KISAH KERUSI PRESIDEN TERMUDA MBS
Mengimbau kali pertama saya menyertai Majlis Belia Sabah 7 tahun lepas, saya merupakan seorang belia berumur 25 tahun yang baru sahaja menyertai alam pekerjaan. Pertama kali berentap dalam pemilihan, itulah pengalaman “pecah telur” saya menawarkan diri untuk dipilih memikul amanah dalam badan induk pertubuhan belia terbesar di Sabah. Sejujurnya saya masuk dalam keadaan “clueless” yang tidak tahu apa perlu dibuat dan apa “expectation” yang perlu dipenuhi. Tambahan lagi baru sahaja memasuki tahun kedua bertugas di Syarikat Minyak dan Gas Multi-Negara, saya merasakan bebanan yang amat berat untuk mengimbangi masa antara kerjaya dan kerja – kerja sukarela. Namun dalam masa yang sama, saya berasa bersyukur kerana didedahkan seawal yang mungkin kepada kewujudan dan peranan Civil Society Organization (CSO) seperti Majlis Belia Sabah dalam membentuk masyarakat. Bukan sahaja ianya menjadi “training ground” yang betul – betul “hands on”, akan tetapi membuka peluang seluasnya kepada anak muda untuk terlibat secara langsung dalam mempengaruhi dan terlibat dalam pembentukan/pelaksanaan polisi Negeri.
Bermula sebagai seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) muda yang baru bertatih dalam pergerakan belia rentas NGO dan agensi, pada penggal 2016/2018, Presiden Kehormat Tn. Norman Rayn melantik saya sebagai AJK lantikan. Kepercayaan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk menganjurkan program Anjakan Minda Belia: Belia EXAS (Excellence With A Soul) yang diaspirasikan daripada sebuah buku karangan Harry R Lewis; Excellence Without A Soul. Sebuah buku yang bertemakan kritik sosial terhadap golongan elit yang berpendidikan tinggi, yang akhirnya menjawat jawatan – jawatan tinggi, namun tidak bertanggungjawab terhadap pemegang taruhnya. Bila menjadi politikus, mereka korup, bila memimpin konglomerat mereka mengabaikan tanggungjawab, bila diberi amanah, terus diabai walaupun mereka merupakan graduan universiti terkemuka dunia. Alhamdulillah program tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari Sindumin hingga ke Semporna.
Atas pendedahan awal dan kesedaran yang terbit sepanjang berada di dalam kepimpinan MBS sejak 2014 hingga 2018, saya mengambil keputusan untuk menawarkan diri sebagai Presiden pada umur 29 tahun. Keputusan ini pastinya dibuat secara kolektif bersama rakan – rakan dalam gabungan MBS yang mahukan perubahan dinamik dalam mengemudi hala tuju majlis. Syukur Alhamdulillah, kita semua berjaya membawa MBS ke peringkat yang lebih baik mengikut rentak yang telah dimulakan oleh barisan pimpinan terdahulu yang banyak berjasa.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dihormati,
DINAMIKA PERGERAKAN MAJLIS BELIA SABAH
Berdasarkan statistik penganjuran Program MBS dan Badan Gabungan, lebih 2,100 program berjaya dianjurkan sepanjang 2019 – 2021. Dari segi penglibatan belia yang terlibat dalam program anjuran MBS dan Badan Gabungan mencecah 300,000 orang sepanjang tahun yang sama. Dengan cabaran pandemik yang mengekang, MBS memperkenalkan tema EMPHATY sebagai garis panduan penganjuran program sepanjang penularan wabak berlaku. Fokus ini dapat membantu bukan sahaja AJK MBS untuk menjalankan program, malah menyantuni keperluan semasa belia yang terkesan dengan pandemik.
EMPATHY:
E – Education (Pendidikan) & Entrepreneurship (Keusahawanan)
MP -Employment (Pekerjaan),
T – Technical Skills (Kemahiran / TVET),
H – Health (Kesihatan Mental & Fizikal) dan
Y – Youthful Mindset (Pemikiran Belia)
Menyelami denyut nadi rakyat yang terputus sumber rezeki ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, MBS tidak duduk diam dan menunding jari menyalahkan mana – mana pihak. Malah MBS sendiri telah memulakan inisiatif Dapur Belia yang dimulakan dengan sokongan sumbangan dana awam. Gerakan awal Dapur Belia telah bermula di Rumah KAMI (Kolaborasi Anak Muda Idealis) – ABIM Sabah yang bertempat Universiti Apartment Kota Kinabalu pada bulan Mac 2020 dan tersebar luas seluruh Sabah malah beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.
Sepanjang siri Dapur Belia 1.0 hingga 4.0 pimpinan Setiausaha Agung Pn. Noorziean Mohd Tairudin, Lebih 75,000 penerima manfaat berjaya dibantu dan lebih 300 kelab belia, persatuan dan orang perseorangan berjaya digerakkan dalam menjalankan misi kemanusiaan ini. Tahniah diucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat. Penghargaan juga diberikan kepada penyumbang awam dan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor yang telah meluluskan dana khas Dapur Belia melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
MBS sebagai “role model” kepada pergerakan belia yang lain tidak hanya bergerak secara silo dan terhad di dalam Sabah. MBS telah meluaskan jaringan secara rasmi dan tidak rasmi kepada rangkaian di peringkat Nasional dan juga Antarabangsa. Pada Mei 2019, MBS telah menerima jemputan daripada TYT Dr. Merve Safa Kavakçı, Duta Besar Turki ke Malaysia untuk menghadiri sesi makan malam khas bersama ahli parlimen termuda Turki, YB Pn. Rümeysa Kadak. Selain daripada itu, diskusi awal penubuhan East ASEAN Youth Council bersama Majlis Belia Brunei juga telah dimulakan awal tahun ini. MBS wajar memposisikan diri sebagai pemain rantau (Regional player) agar dapat meluaskan pandangan sarwa (worldview) belia Sabah untuk berfikiran jauh dan peka dan isu antarabangsa.
Disamping itu, MBS juga tidak melupakan kekuatan pergerakan belia di peringkat akar umbi. Atas sebab itu, inisiatif penstrukturan semula MBS yang digerakkan oleh Timbalan Presiden Sdr. Abqaree turut dijadikan antara agenda utama penggal ini. Syukur Alhamdulillah, kini telah tersedia platform di peringkat daerah dengan penubuhan Gabungan Belia Daerah. Gabungan ini akan membentuk Majlis Belia Bahagian yang merupakan gabungan Majlis Belia Sabah di peringkat Negeri. Dengan struktur yang lebih kemas kini, laluan buat belia akar umbi untuk naik ke peringkat Negeri, Kebangsaan, malah Antarabangsa lebih mudah.
Saudara Saudari sekalian,
Bagi meneruskan kecemerlangan Majlis Belia Sabah, Dewan Tertinggi MBS yang dianggotai oleh ketua – ketua Badan Gabungan telah memutuskan untuk memilih hari ini,
27 Disember 2021 sebagai tarikh MPAT dan juga pemilihan kepimpinan baharu. Perubahan kepimpinan yang dinamik adalah perlu dalam MBS agar momentum gerak kerja sentiasa diperbaharui. Kita semua adalah sukarelawan yang mahukan MBS terus berdaya saing dan kekal menjadi platform yang utuh untuk belia Sabah berpaut. Saya menyeru untuk sidang perwakilan membuat pilihan yang terbaik agar MBS kekal relevan di masa hadapan. Undilah dengan “conviction” untuk memastikan wujudnya kesinambungan kepimpinan yang boleh membawa MBS ke peringkat yang lebih tinggi. Jawatan adalah amanah untuk dipertanggungjawabkan, bukannya untuk bermegah – megah dengan poster sempena hari – hari keraian sahaja.
POLEMIK HAD UMUR BELIA
Julai 2019 menyaksikan perubahan bersejarah apabila had umur belia diturunkan daripada 15 – 40 tahun kepada 15 – 30 tahun. Hal ini bersama usul penurunan had umur mengundi minima daripada 21 tahun kepada 18 tahun mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli parlimen di Dewan Rakyat. Malangnya yang menerima tempiasnya adalah kita semua di pergerakan belia. Dengan pindaan akta ini, pemimpin pertubuhan belia juga diterhadkan tempoh perkhidmatannya kepada 18 – 30 tahun sahaja. Sekali lagi, pergerakan belia ditekan untuk berpencen tetap. Walau bagaimanapun, MBS sebagai gerakan belia yang dinamik harus bersikap anjal (agile) dalam menanggapi cabaran ini. Kita ada dua pilihan, mahu berpeluk tubuh lalu tersungkur, atau siapkan calon pimpinan bawah 30 tahun untuk penggal seterusnya? Melihat kepada wajah – wajah baharu yang dicalonkan dalam pemilihan MPAT MBS kali ini, wujud keyakinan bahawa MBS masih ada generasi pelapis yang boleh diketengahkan.
Polemik had umur ini tidak wajar dijadikan alasan untuk MBS menarik “handbreak” menyantuni keperluan semasa belia Sabah. Berdasarkan laporan Facts & Figures #MyIndexBelia 2019 terbitan Institute Youth Research (IYRES), trend pencapaian tahap kualiti dan kesejahteraan belia Malaysia menurun sebanyak 3.36% berbanding tahun 2017 pada tahun 2019. Indeks kesejahteraan belia Malaysia cuma di tahap sederhana dengan pemarkahan 66.98%. Apabila dibandingkan di peringkat antarabangsa pula, belia Malaysia menduduki tangga ke 34 daripada 183 negara (Sumber: Global Youth Development Index 2016). Apabila skop ini difokuskan kepada belia Sabah secara spesifik, kita masih ketinggalah dari 3 domain iaitu Domain Ekonomi (60.75%), Domain Sosialisasi Politik (26.36%) dan Domain Ketembusan Media (65.16%) (Sumber: Indeks Belia Malaysia 2019).
Hadirin sekalian,
World Economic Forum The Global Risks Report 2021 Edisi Ke-16 telah mengemukakan 10 risiko global yang dihadapi seluruh dunia dalam tempoh 2 tahun kehadapan. 10 risiko tersebut adalah 1) Infectious diseases 2) Livelihood crises 3) Extreme whether events 4)
Cybersecurity failure 5) Digital Inequality 6) Prolonged stagnation 7) Terrorist attack 😎 Youth disillusionment 9) Social cohesion erosion dan 10) Human Environmental damage. Diantara 10 risiko ini, risiko yang kelapan (😎 iaitu “Youth Disillusionment” merupakan risiko yang terkesampingkan dalam kalangan “Pandemials”. Kumpulan ini merupakan kumpulan anak muda yang menjalani kehidupan era pandemik. Golongan ini bukan sahaja berpengalaman menghadapi “lockdown”, “new norm” dan istilah – istilah baharu pengawalan wabak. Malah mereka juga secara tidak langsung menanggung keperitan kesempitan ekonomi dan juga ketinggalan dalam pembelajaran.
Dianggarkan 30% pelajar di seluruh dunia tidak mempunyai akses teknologi untuk pembelajaran atas talian sepanjang tempoh sekolah ditutup atas faktor wabak. Golongan ini bukan sahaja terdedah dengan risiko depresi dan kemurungan, malah mereka juga dihurung dengan masalah ketidakstabilan ekonomi dan ketiadaan peluang pekerjaan. Walau bagaimanapun, dalam penilaian yang dibuat dalam kalangan Gen Z di seluruh dunia, lebih 82% daripada golongan “Pandemials” ini sebenarnya bersikap optimistik untuk masa hadapan. Masih wujud keyakinan bahawa dunia akan semakin baik, peluang pekerjaan akan semakin banyak dan wabak boleh ditamatkan. Data – data penting ini sewajarnya dinilai dan dirujuk sebagai asas untuk MBS dan gabungannya bertindak menyantuni anak muda seawal remaja 15 tahun di seluruh Sabah.
UNDI 18, POPULISM DAN POLITIK NILAI
Suruhanjaya Pilihanraya melaporkan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun hingga 20 tahun yang bakal layak didaftarkan sebagai pengundi sehingga tahun 2023 adalah seramai 3.8 juta orang. Di Sabah sahaja, jumlah pengundi baharu yang akan bertambah adalah melebihi 140,000 orang pengundi. Cabarannya ialah sosialisasi politik dalam kalangan belia berumur 15 – 30 tahun di Sabah hanya berjaya mencapai skor 26.36%,. Cuma tinggi 0.3% daripada Negeri jiran; Sarawak. (Sumber: IYRES – Indeks Belia Sabah 2019). Ironinya, Sabah merupakan Negeri pertama di Malaysia yang meluluskan penurunan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun (Pindaan 2019, Nov). Di peringkat rantau ASEAN pula, Malaysia adalah satu-satunya Negara yang membenarkan belia berumur 18 tahun menawarkan diri sebagai calon pilihanraya! Meskipun syarat kelayakan mengundi dan bertanding di pilihanraya kita setanding dengan kebanyakan Negara di benua Eropah, malangnya kesediaan belia terhadap perubahan ini belum dapat diurus dengan baik.
Bahasa mudahnya, belia Sabah yang berumur 15 – 30 tahun tidak terlibat dalam aktiviti politik. Ianya termasuklah penyertaan, mengikuti perkembangan dan perbincangan berkaitan isu politik. Apakah peranan MBS dalam meminimakan kesenjangan ini? Selain daripada desakan MBS kepada pihak Kerajaan untuk memperkenalkan program pendidikan demokrasi di peringkat Sekolah Menengah, saranan untuk mewujudkan Dewan Belia Sabah bagi membuka lebih banyak platform latihan berunding dan keterlibatan belia dalam pembuatan polisi diterima baik oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah. Program ini bakal dibuka penyertaannya pada Februari 2022 melalui inisiatif Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).
Bahana trend “Populism” dalam politik ternyata tidak memihak kepada kemajuan masyarakat terutamanya dalam era “Post Truth Politics” menjadi norma. Zaman dimana populariti dan sensasi boleh digantikan dengan kebenaran, kriteria pemilihan wakil rakyat bukan lagi dinilai berdasarkan kredibel dan kewibawaan. Akan tetapi dinilai berdasarkan populariti yang tiada batasnya. Jika isu ini tidak dibendung, pastinya akan berleluasalah konsep “matlamat menghalalkan cara” ala Machiavelli yang membenarkan apa sahaja kaedah termasuk sentimen perkauman melampau, rasuah dan politik wang demi merebut kekuasaan. Perlahan – lahan politik nilai akan mati dan akan digantikan dengan politik yang tidak lagi mempertahankan konsep mudah demokrasi iaitu; “Majority Rules, Minority Rights”. Yang majoriti memerintah, yang kalah dilindungi haknya.
PEMBINAAN KARAKTER BELIA BERWIBAWA DAN INSTITUSI KELUARGA
Institusi pembentukan modal insan terbesar di dunia bukanlah sekolah mahupun persatuan belia. Keluarga merupakan institusi terbesar dan paling kondusif dalam membentuk karakter belia seawal usia kanak-kanak. Keluarga adalah unit asas sosial yang terdiri daripada ibu bapa / penjaga dan anak-anak yang dapat memberi penekanan kepada pembentukan kekuatan mental, fizikal dan spiritual belia. Justeru, fokus pergerakan belia seharusnya tidak terhad kepada menyantuni belia itu sendiri semata, akan tetapi pendekatan pemerkasaan keluarga juga boleh menjadi satu “game plan” jangka panjang agar wujudnya ekosistem lengkap dalam pembangunan modal insan di negara ini. Belia juga pada suatu masa akan berkeluarga, dan seharusnya kumpulan ini disiap siagakan untuk membentuk institusi keluarga yang mampu mencorak generasi seterusnya.
Mengurangkan belia yang terjerat dengan keciciran pendidikan, perkahwinan bawah umur, kesalahan juvana boleh diatasi dengan pemerkasaan keluarga. Ada yang berpendapat bahawa perkahwinan bawah umur adalah jalan keluar kepada kemiskinan. Malangnya kajian yang dibuat oleh Pacos Trust pada November 2019, pengantin wanita bawah umur yang dikahwinkan ini bukan sahaja tercicir dari aspek pendidikan dan kerjaya, malah 98% daripada meraka kekal dalam kategori miskin tegar dengan pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Jangan pisahkan agenda pembangunan belia bersama pemerkasaan keluarga. Keduanya saling berkait dan mampu untuk menjadi “social safety net” terutamanya kepada golongan belia berisiko termasuklah kumpulan NEEET (Not In Education, Employment, Entrepreneurship and Training).
JOB MISMATCH DAN GAJI BERMARUAH DI SABAH
Pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8% setakat Jun 2021 (Sumber: Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia). Peningkatan ini merupakan salah satu “inevitable implication” penularan pandemik Covid-19. Lebih malang di Sabah, pada 2018, sebelum Covid melanda, kita telahpun mengungguli carta graduan yang paling ramai menganggur di Malaysia. Permasalahan ini perlu diselesaikan dengan cermat dan bukan menunding jari ke mana – mana pihak. Antara faktor penyumbang kepada statistik ini adalah:
1.Kebolehpasaran graduan
2.Job mismatch
3.Kekurangan Industri Bernilai Tinggi
4.Penawaran gaji yang tidak setimpal
Mendepani perubahan industri pasca pandemik dan pra dunia maya metaverse, kerjasama antara institusi pengajian tinggi, industri dan pertubuhan belia harus diperkasakan. Graduan yang telah dikategorikan sebagai “employment mismatch” perlu dibantu untuk memastikan kesejahteraan ekonominya terjamin. Graduan yang masih gagal memasarkan diri dalam pasaran kerja pula harus dikenalpasti dan diberi latihan tambahan baik dari aspek “soft skill” mahupun kemahiran tambahan yang lain. Selain daripada itu, desakan kepada pihak berwajib dalam memujuk pelabur berimpak tinggi (high impact investment) untuk bertapak di Sabah harus dilakukan secara konsisten. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Mengatasi masalah graduan pun gagal, berlaku pula brain drain dimana anak – anak Sabah yang berpotensi tinggi akhirnya bekerja dan bermastautin di luar Sabah gara – gara gagal mendapatkan gaji bermaruah yang setimpal dengan kelayakannya di kampungnya sendiri.
Saudara Saudari sekalian,
SABAH MAJU JAYA, MALAYSIA BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU
Menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sabah Maju Jaya sebagai sebuah destinasi yang perlu dituju secara bersama, terdapat 6 gagasan yang perlu kita semua realisasikan:
1.Masyarakat berilmu dan membudayakan ilmu
2.Kemudahan asas yang sempurna
3.Institusi keluarga diutamakan
4.Sikap empati dan altruistik sebagai norma warga
5.Penjawat awam sebagai jentera efisyen dan efektif
6.Negarawan (statesman) sebagai bembuat polisi
Anak muda Malaysia terutamanya di Sabah mahu tidak mahu, harus menjadikan budaya keilmuan sebagai sandaran kepada kebangkitan. Tidak pernah tercatat dalam sejarah dunia, terbangunnya sebuah ketamadunan tanpa pembudayaan ilmu. Sekurang – kurangnya diperingkat gerakan belia akar umbi, budaya ilmu ini harus diterapkan. Ianya bukanlah menelaah buku semata yang akan membentuk budaya ilmu, akan tetapi melazimi program yang membentuk cara berfikir dan cara bertindak mengikut disiplin ilmu
– ilmu tertentu yang akan menjadikannya pembudayaan ilmu sebagai sebuah budaya organisasi (organizational culture). Hanya dengan berasaskan ilmu yang tepat dan benar sahajalah caranya untuk akhirnya kita akan berjaya mengecapi Sabah Maju Jaya.
FASTABIQUL KHAIRAT / BERLUMBA BERBUAT KEBAIKAN
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
خ ْي ُر الناس أَنْفَ ُع ُه ْم لِلناس
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad)
Misi pergerakan belia yang paling utama pastinya untuk melahirkan seramai mungkin manusia yang bermanfaat buat yang lain. Seharusnya wujudnya perasaan berlumba – lumba antara kita untuk melaksanakan pelbagai inisiaitif agar matlamat ini dapat dicapai. Pepatah Melayu yang mengingatkan bahawa buluh yang keras itu boleh di lentur daripada rebung merupakan hikmah (wisdom) yang perlu kita cermati untuk dijadikan pedoman bahawa membangun modal insan bermula seawal usia. Sebagai kumpulan terbesar yang terlibat secara lansung dalam “melentur” modal insan di Sabah, persaingan sihat antara MBS dan gabungannya dilihat sebagai perkembangan yang positif. Saya sarankan agar perkongsian amalan terbaik (best practices) antara Badan Gabungan sebagai agenda tetap di dalam persidangan Dewan Tertinggi MBS.
Sebagai penutup, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa MBS Sesi 2018/2020, pejabat sekretariat MBS dan seluruh Badan Gabungan yang telah bersama – sama saya menempuhi cabaran sepanjang 4 tahun ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan juga Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah atas kepercayaan kepada MBS sepanjang kepimpinan saya. Setiap satu daripada kejayaan MBS adalah hasil kerjasama kita semua. Manakala cacat cela dan kelemahan sepanjang penggal ini adalah dibahu saya sendiri. Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan sekiranya ada terkasar bahasa atau terguris hati.
Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu,
Niat hati tak mahu bercerai,
Kehendak Allah siapa yang tahu?
Kalau ada sumur di ladang, B
oleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi!
Wabillahitaufik walhidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
Belia Sabah Berwibawa!

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close