ASPIRASI : AZIZUL JULIRN, BUKTI KEJAYAAN GRADUAN DI LADANG

AZIZUL JULIRN

Jom berkenalan dengan Ikon ASPIRASI buat kali yang pertama. Seorang pemuda asal dari Kundasang, Sabah dan telah berjaya memperkenalkan inovasi pertanian buat penduduk sekitar. Semoga bermanfaat!

 

MISI 5 TAHUN : Pusat Agro Pelancongan Durian Musang King Ranau

5 tahun lepas, tepatnya pada hari kelmarin, 5 Jun 2015 jam 7.15 pagi berlaku satu tragedi gempa bumi bermagnitiud 5.9 richter di Ranau, Sabah. Tragedi yang telah mengorbankan 18 orang tersebut adalah momen yang akan saya ingat sampai bila-bila.

Tambah memburukkan keadaan, kesukaran yang dihadapi oleh penduduk dan para petani di Kundasang pasca gempa akibat terputus punca bekalan air dan sebahagian jalan utama menuju ke kawasan kebun sayuran rosak teruk. Ya, kamilah sebahagian penduduk dan si petani tersebut. Ketika ini saya berfikir, sesuatu perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya untuk diri dan keluarga saya.

Tragedi tersebut telah menjadi titik mula kepada perubahan kehidupan saya secara 360 darjah. Daripada masalah saya lihat peluang. Saya berazam dalam tempoh 5 tahun saya perlu mempelopori kaedah penanaman sayuran moden secara komersial sebagai alternatif kepada kaedah konvensional sedia ada.

Maka, lahirlah ladang akuaponik komersial Kundasang Aquafarm. Kebun kecil ini telah membawa saya ke suatu pencapaian dan perjalanan yang jauh. Alhamdulillah.

Kebetulan, azam 5 tahun saya telah berakhir semalam. Saya perbaharui semula dengan misi 5 tahun saya yang seterusnya.

Misinya ialah untuk mewujudkan sebuah pusat agro pelancongan durian musang king di daerah Ranau. Tanah seluas 10 ekar ini akan dilengkapi dengan kemudahan rekreasi keluarga, camp site untuk pencinta alam dan aktiviti outdoor, pemprosesan hasil pasca tuai durian, nurseri musang king dan juga sebuah rumah kecil untuk saya lepak sambil menikmati pemandangan Gunung Kinabalu di kejauhan dan berstargazing di malam hari. Bermimpi itu gratis kan 😃

Anak pokok durian akan ditanam sedikit masa lagi. Sekarang dalam proses mengorek lubang tanaman dengan jarak 10 meter persegi. Buat permulaan, kami sudah menanam berpuluh pokok kelapa pandan dan beratus benih labu serta jagung. Selepas ini, ribuan anak pokok pisang saba, ubi kayu dan nanas akan menyusul. Saya bersyukur buat masa ini dibantu oleh beberapa orang muda yang berkongsi aspirasi yang sama. Terima kasih bro Arthur Chin Kian Eng selalu kasi semangat saya 😁

Semua kos membersihkan kawasan, pembelian anak pokok tanaman dan kos operasi setakat ini adalah daripada tabungan setiap hadiah kemenangan, anugerah dan sampul berisi yang diberikan penganjur ceramah dan kursus yang saya kendalikan sejak 2 tahun lepas. Kerja-kerja pembersihan kawasan seperti momorilik (menebas), mintutud (membakar) dan sehingga kini semua dibuat secara mitatabang (bergotong royong) ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP). Kami nda stay at home, kami stay working at farm 😁

Pepatah turki mengatakan, orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai nikmat rimbun berteduh. Ya, panas dan pedihnya kulit dibakar mentari di ladang sangat perit. Namun, 5 tahun akan datang, mudah-mudahan saya dan rakan-rakan boleh berteduh di bawah rimbunan pepohon durian sambil melantak durian musang king sampai lebam. InsyaAllah.

Bukan mudah tapi tidak mustahil. Saya percaya kepada usaha dan kerja keras pasti membuahkan hasil.

5 tahun lagi, saya akan up status ini dan tunjuk dengan anak, ‘ NAK, INI BAPA MU MASA MUDA ‘ 👨‍🌾

Semoga Allah permudahkan usaha kecil ini.

#GraduanKeLadang #MKjourney #kampungboy #farmlife

 

Kenali Azizul dengan lebih lanjut. Ikuti beliau di laman Facebook.com/Azizul.Julirn. 

Hantarkan kisah menarik anda untuk diterbitkan dalam slot ASPIRASI laman web Majlis Belia Sabah dengan menghantar artikel, gambar atau video ke alamat emel kami: beliasabah@gmail.com

#ASPIRASI #BeliaSabah #MajuJaya

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close