Belanjawan 2021: Boleh Buat Lebih Baik – MBS

Ahmad Farid Sainuri

 

Belanjawan 2021 secara umumnya menyantuni permintaan asas belia seperti peluang pekerjaan, pelbagai program Perantisan Belia, moratorium bersasar dan lain-lain. Walau bagaimanapun terdapat hal lain yang tidak kena pada tempatnya.

Contohnya kegusaran belia yang bekerja dalam industri pelancongan seperti penerbangan, perhotelan dan lain-lain tidak berjaya ditangani dengan berkesan. Golongan ini adalah golongan paling rentan dalam berdepan pandemik. Kerisauannya adalah adakah sekadar latihan mencukupi untuk membina semula kehidupan? Kerajaan seharusnya sensitif dengan kategori “fakir bandar” yang meningkat secara mengejut kerana kehilangan pekerjaan.

Pemberian dana bantuan secara “once-off” memang diperlukan, tapi rakyat memerlukan sesuatu yang lebih mapan dan mencukupi. Keluarga muda yang tinggal di bandar-bandar terpaksa menyewa dengan kadar yang tinggi sedangkan mereka kehilangan pekerjaan. Sebilangannya sudah hilang sumber pendapatan sejak April. Isu pemilikan rumah juga tidak disentuh dalam bajet 2021. Komitmen kerajaan untuk membantu belia memiliki aset (rumah) dipertikai dalam hal ini.

Selain daripada itu, sokongan khusus kepada E-Sports (Sukan Elektronik) perlu jelas. Adakah ianya akan membina industri termasuk aktiviti hiliran atau sekadar membangun atlet? Banyak peluang pekerjaan boleh dicetuskan bukan sebagai seorang pemain Sukan Elektronik sahaja, tetapi ratusan ribu pembangun permainan (game developer), pengedar dan aktviti lain dalam industri tersebut.

MBS sebagai badan induk pertubuhan belia di Sabah turut kesal kerana tiada pengiktirafan daripada kerajaan persekutuan kepada Majlis Belia Malaysia sebagai pemegang taruh pembangunan belia Malaysia. MBM tidak disebut langsung dan tidak disediakan dana khusus untuk membantu belia-belia di luar sana termasuk ahli badan gabungan yang ramai menjadi sukarelawan berdepan menangani Covid-19.

Walau apa pun belanjawan yang bakal lulus nanti, MBS mengharapkan pihak kerajaan dapat menggerakkan seluruh agensi yang terlibat untuk memastikan dana yang telah disediakan sampai dan merakyat. Permudahkan proses buat golongan sasar mendapatkannya. Beri perhatian kepada proses dan prestasi penyampaian berbanding pengumuman.

Ahmad Farid Bin Sainuri
Presiden MBS

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close