DARI BATU SAPI KE BRISTOL

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Salam perkenalan daripada saya, Mohd Al Farid Bin Abraham yang kini menetap di Bristol, United Kingdom (UK). Saya merupakan anak ke-4 daripada 8 orang adik-beradik yang menetap di Kampung Bakau, Jalan Batu Sapi, Sandakan. Tahun ini, umur saya genap 28 tahun dan berikut merupakan kisah perjalanan akademik dan permulaan karier saya sebagai bakal pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kerana belajar di luar negara adalah impian saya sejak di bangku sekolah lagi, saya terus berusaha dan mencuba segala peluang yang tersedia untuk memastikan saya boleh mengecapinya”.

Dari Batu Sapi ke Bristol

Terkini, saya sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Universiti of Bristol, UK dalam bidang geologi dengan pengkhususan geokimia organik. Kajian saya bertujuan untuk mempelajari kesan dan akibat perubahan iklim (e.g., kenaikan suhu) di masa lampau dengan menggunakan teknik analisis geokimia terhadap sampel tanah laut dalam di Lautan Atlantik yang berusia jutaan tahun.

Terdahulu, saya berjaya menyempurnakan pengajian Master di Lancaster University (UK) berfokuskan kajian berkenaan sains tanah untuk mendalami fungsi spesifik tanah sebagai penyimpanan karbon untuk mengurangkan kesan monoksida (CO2) terhadap Bumi. Pengajian luar negara saya telah ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Yayasan Raja Zarith Sofia dan Lancaster University.

Dalam pada itu, saya bersyukur kerana telah memilih UMS sebagai universiti pilihan dan mengikuti Program Geologi selama 3 tahun selepas tamat pengajian Asasi di Universiti Malaya.

Antara pengalaman bermakna di UMS ialah sewaktu menjalankan fungsi sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS dan Naib Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi tahun 2014. Peluang ini membolehkan saya mengembangkan bakat dan potensi sebagai mahasiswa yang holistik dari aspek akademik dan kepimpinan. Saya bertuah kerana telah dipilih untuk mewakili mahasiswa untuk ‘Valedictorian Speech’ Majlis Konvokesyen ke-17 UMS. Setelah bergraduasi, saya telah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah/Pemegang Amanah dan Pengarah Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) bermula tahun 2015 sehingga 2019.

Semoga perkongsian saya memberi manfaat dan inspirasi kepada rakan-rakan diluar sana. Untuk mengikuti perkembangan semasa saya bolehlah berhubung melalui LinkedIn, Facebook, Twitter, Instagram melalui @alfaridabraham.

Sabah Maju Jaya!

“Swafoto berlatarbelakangkan tulisan tangan Albert Einstein berkenaan ‘general theories of relativity’ 1915, di University of Oxford”

 

 

 

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close