KENYATAAN MEDIA : “PERANAN STRATEGIK MALAYSIA TIMUR DALAM PEMBINAAN NEGARA BUKAN SEKADAR BUAH CATUR POLITIKUS”

Ahmad Farid Sainuri

 

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN MAJLIS BELIA SABAH
27 JUN 2020

“PERANAN STRATEGIK MALAYSIA TIMUR DALAM PEMBINAAN NEGARA BUKAN SEKADAR BUAH CATUR POLITIKUS”

 

1. Saya merujuk kepada pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohammad mencalonkan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah sebagai calon Perdana Menteri Malaysia gabungan BERSATU (Tun M), DAP, AMANAH dan WARISAN. Pencalonan ini mendapat liputan meluas media seluruh negara pada 27 Jun 2020.

2. Dinamika politik Negara yang ultra-demoktratik telah mengakibatkan ketidaktentuan yang berterusan sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan memerintah. Agenda Reformasi Institusi, pelaksanaan Manifesto semuanya terhenti sekerat jalan. Berdepan dengan “fragile government” Perikatan Nasional (PN), Kini solusi yang diperkenalkan Pakatan Harapan adalah “Dasar Pandang Ke Timur 2.0”

3. Tanpa menafikan kemampuan pimpinan daripada Malaysia Timur mengemudi Malaysia, saya melihat pencalonan yang baru diumumkan oleh Tun Mahathir ini sebagai memperlekeh kemampuan anak Sabah di pentas politik Nasional. Sosok pemimpin hebat lagi berpengalaman luas seperti DSP Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal bukanlah untuk dijadikan buah catur permainan politik. Kenapa dalam keadaan “Deadlock” barulah calon Perdana Menteri daripada Sabah dipertaruhkan? Jika betul tulus dan ikhlas perlukan khidmat Sabah dalam mencorak masa depan Malaysia, kenapa nama ini tidak diumum pada 7 Januari 2018 sebagai calon PM ketika Pakatan Harapan mengumumkan calon PM dan TPM?

4. Malaysia telah mencatatkan 610,500 orang penganggur (peningkatan 17.1%) pada awal Jun 2020 implikasi daripada penularan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan ekonomi dunia. Adalah menjadi keutamaan untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada agenda menyelamatkan mereka yang terkesan. Pembangkang perlu memainkan peranan yang efektif dalam memastikan “check and balance” terhadap insentif – insentif yang diperkenalkan oleh Kerajaan PN. Adakah berkesan? Adakah sampai ke kumpulan sasaran? Adakah mencukupi bagi meringankan beban rakyat? Menjelang September 2020, saya optimis lebih ramai akan tersepit tanpa kelonggaran moratarium. Tidak terhad dengan bebanan ekonomi, berapa ramai lagi Veveonah perlu memanjat pokok agar tular di media sosial sebelum mendapat kemudahan infrastruktur telekomunikasi demi kelangsungan pengajian?

5. Sebagai Kerajaan mahupun Pembangkang, Demokrasi perlu digunakan sebagai alat untuk memberi manfaat kepada rakyat terbanyak. Bukanlah sebagai permainan catur politikus yang tidak berpenghujung. Anak muda ingin melihat perubahan Negara yang mendasar yang pada akhirnya memperjuang konsep kebenaran dan keadilan sebagai naratif Malaysia Baharu yang kita semua idamkan. Cukuplah beretorik, buktikan dengan tindakan!

AHMAD FARID SAINURI
PRESIDEN MAJLIS BELIA SABAH
KOTA KINABALU

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close