MAJLIS BELIA SABAH FOKUS PEMBERDAYAAN POTENSI BELIA DAN KETERLIBATAN AKAR UMBI DALAM GERAKAN ARUS PERDANA

Kenyataan Media
Majlis Belia Sabah

10 Januari 2022 / 7 Jamadilakhir 1443H

MAJLIS BELIA SABAH FOKUS PEMBERDAYAAN POTENSI BELIA DAN KETERLIBATAN AKAR UMBI DALAM GERAKAN  ARUS PERDANA

Dengan membawa tema “Belia Sabah Berwibawa, Belia Sabah Maju Jaya”, Majlis Belia Sabah (MBS) beriltizam mengangkat suara, bakat dan potensi belia di semua peringkat dan mengajak partisipasi belia untuk berperan serta dalam wadah perjuangan belia Sabah ini demi memartabatkan belia dan memajukan negeri tercinta.

MBS sangat komited melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berimpak tinggi kepada semua belia pada masa akan datang dan berharap agar semua pihak pemegang taruh khususnya belia, persatuan, NGO mahupun kumpulan tertentu yang berfokuskan belia termasuklah agensi kerajaan dan swasta dapat bersama-sama dengan MBS dalam menggembleng idea, tenaga, kemahiran dan sebagainya bagi mencapai misi Belia Sabah Berwibawa, Belia Sabah Maju Jaya.

Bagi kepimpinan sesi baharu ini, MBS akan meneruskan agenda pembangunan belia secara holistik dan terancang. Terdapat empat (4) fokus gerak kerja yang akan diutamakan untuk tahun 2022 ini.

  1. Tumpuan Memberdaya Potensi Belia Akar Umbi

Belia akar umbi bukanlah hanya merujuk kepada individua atau persatuan belia yang ada di kampung atau perumahan, tetapi ianya lebih meluas dengan melibatkan semua rakyat yang berstatus belia (berumur 15 – 30 tahun) samada tinggal di bandar, luar bandar atau pedalaman. MBS akan terus membantu dan menjalinkan kerjasama strategik samada melalui program secara kerjasama atau perkongsian idea dan kemahiran dengan semua belia akar umbi sesuai dengan visi dan misi MBS.

MBS mahu lebih ramai belia akar umbi terlibat dalam organisasi belia diperingkat tertinggi samada di daerah, bahagian, negeri mahupun kebangsaan khususnya dalam perkara berkaitan membuat keputusan, polisi atau dasar kerajaan yang terkait dengan belia.  MBS tidak mahu belia akar umbi hanya dilihat sebagai pak turut atau mereka yang hanya melakukan kerja-kerja meyusun kerusi dan meja serta hadir untuk meramaikan suatu program.

  1. Mengembangkan Potensi Setiap Pimpinan MBS dan Badan Gabungan

Setiap pimpinan MBS yang telah dipilih atau dilantik semestinya mewakili salah satu badan gabungan yang ada di dalam MBS. Pimpinan itu adalah umpama jambatan yang menjadi penghubung dan pemudah cara antara MBS dan badan gabungan yang diwakilinya. Keberadaan mereka di dalam MBS seharusnya tidak menjejaskan komitmen mereka terhadap persatuan tetapi menjadi pemangkin untuk lebih bersemangat dan kreatif dalam menyumbang khidmat kepada belia melalui kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam mana-mana program.

Malah pimpinan MBS perlu berusaha sebaik mungkin untuk melakukan khidmat bakti kepada belia, masyarakat, persatuan dan negeri. Setiap pimpinan juga adalah sebagai duta MBS yang membawa nama baik dan imej MBS walau dimana mereka berada. Tonjolkan imej dan budaya kepimpinan MBS sesuai dengan status MBS sebagai badan tertinggi mewakili belia di negeri Sabah.  Kita mahu kewujudan MBS diketahui malah dirasai kehadirannya oleh belia, masyarakat dan pelbagai pihak kerana telah memberi khidmat bakti dan menyuarakan hasrat dan harapan suara belia serta menjadi juru bicara isu rakyat.

  1. MBS sebagai peneraju isu belia dalam arus perdana

Kita tidak mahu lagi MBS hanya bergerak seperti persatuan-persatuan biasa, kita tidak lagi mahu MBS hanya sebagai organisasi yang wujud bila ada mesyuarat ataupun majlis rasmi kerajaan. Tetapi kita mahu MBS ini menjadi sebuah organisasi belia yang sangat peka dengan pelbagai isu khususnya isu yang menghambat kepentingan belia, masyarakat, negeri mahupun negara. Biarlah MBS menjadi badan tertinggi belia yang berani, responsif, professional dan holistik dalam menyuarakan harapan belia dan merasi denyut nadi masyarakat bukannya yang sekadar hanya memenuhi undangan rasmi dan memenuhi kuota jemputan kerana berstatus negeri.

MBS juga mahu lebih ramai individu, persatuan ataupun kumpulan belia berani menyuarakan malah melibatkan diri dalam membawa isu-isu setempat atau nasional kepada pihak atasan melalui MBS atau mana-mana platform yang sesuai selagi mana ia tidak melanggar undang-undang dan menyentuh sensitivity masyarakat.

  1. Perbanyakkan Program Menjurus Melahirkan Pemimpin Muda Kompeten dan Berkualiti

Antara isu yang hangat dan masih panas dalam perbincangan dikalangan pemimpin belia samada di peringkat akar umbi, negeri mahupun kebangsaan ialah had umur belia yang diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun dan isu pindaan penurunan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Kedua-dua isu ini pastinya akan memberi impak yang sangat besar dalam pelbagai bidang khususnya pengurusan dan kepimpinan organisasi belia, sosial dan politik.

Maka atas sebab itu, MBS akan memberi tumpuan kepada program kepimpinan muda yang holistik berteraskan gabungan beberapa modul.

  1. pembinaan jati diri & karakter pemimpin (Idealisme),
  2. pembudayaan ilmu (Intelektualisme),
  3. sikap kepedulian dan prihatin (Aktivisme),
  4. pembinaan akhlak & sahsiah (Spiritualisme)

Program ini akan melibatkan belia yang berumur antara 15 tahun hingga 21 tahun dan akan dilaksanakan di peringkat bahagian dan negeri. Usaha ini bagi memberi pendedahan awal kepada belia tentang kepimpinan dan keterlibatan dalam organisasi belia yang ada di persekitaran mereka.Untuk menjayakan semua program ini, MBS akan membina rangkaian dan kerjasama dengan pelbagai pihak khususnya persatuan belia di daerah dan bahagian, agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Pejabat Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta mana-mana NGO yang berkaitan.MBS juga semestinya akan melibatkan mana-mana rakan gabungan belia yang ada dikawasan tersebut samada persatuan belia, sekolah, organisasi masyarakat dan sebagainya serta akan bersama-sama dalam program agar keterlibatan lebih luas dan memberi manfaat yang optimum kepada lebih ramai orang.MBS akan memastikan setiap program yang akan dilaksanakan mestilah dirancang secara tersusun dan tidak bergerak secara solo tetapi mengutamakan wujudnya kerjasama dari pelbagai pihak.MBS juga tidak mahu timbulnya isu saling bersaing dengan mana-mana persatuan/NGO yang hanya akan merugikan belia. MBS mahu adanya budaya saling  membantu dan menyokong sebarang usaha untuk memajukan belia. Malah MBS amat mengalu-alukan sebarang cadangam, teguran, perbincangan dan perkongsian kepakaran dari mana-mana individu, kumpulan atau persatuan selagi mana ia memberi manfaat kepada belia dan memajukan negeri Sabah.

 

Abqaree Fawwaz Abekan
Presiden
Majlis Belia Sabah

 

 

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close