PELANCARAN KEMPEN “BELIA RASUAH BUSTERS” PERINGKAT MAJLIS BELIA SABAH

 

06 Mei 2021, Kota Kinabalu: Belia merupakan harapan  bangsa yang mana memainkan peranan sebagai agen perubahan negara terutamanya dalam memerangi rasuah. Isu gejala rasuah tidak asing lagi bagi kita kerana perkara ini berlaku di setiap peringkat masyarakat, dari golongan elit hinggalah ke golongan marhaen.  Sikap prihatin dalam perangi rasuah dan memahami makna integriti perlu dipupuk serta diterapkan seawal usia muda khususnya di bangku sekolah. Selain itu, belia juga perlu memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan integriti dan rasuah kerana dua konsep ini berkait rapat. Sekiranya seseorang itu kurang kefahaman tentang integriti, hal itu akan memberi pengaruh terhadap tingkah laku rasuah.

Oleh kerana itu, Majlis Belia Sabah telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bersempena  Majlis Pelancaran Kempen Belia Rasuah Busters bagi peringkat Majlis Belia Sabah (MBS) dengan kerjasama  Majlis Belia Malaysia (MBM) pada tarikh 6 Mei 2021 (Khamis) jam 5.30 petang di Raia Hotel, Kota Kinabalu bersama dengan Badan-badan Gabungan MBS. Kempen “Belia Rasuah Busters” ini bertujuan mengajak para belia untuk cakna isu-isu rasuah dan impaknya kepada generasi serta memahami lebih jelas akan makna integriti. Pelancaran Kempen Rasuah Belia Rasuah Busters ini disempurnakan oleh YBhg. Sr. Tn. Hj. Yusrie Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS). Majlis ini diisi dengan bacaan khatam Al-Quran dan tazkirah Ramadhan sebelum majlis berbuka puasa. Setelah itu, majlis disambung dengan mendengar ucapan aluan dari Saudara Ahmad Farid Sainuri, Presiden Majlis Belia Sabah, disusuli dengan ucaptama daripada YBhg. Dato’ Hussamuddin Yaacub, Editor Pengurusan Sinar Harian dan seterusnya disempurnakan oleh Sr. Tn. Hj. Yusrie.

Majlis Pelancaran Kempen “Belia Rasuah Busters” ini juga dihadiri oleh Tuan Apui Jan (Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah), Tuan Putera Jali (Timbalan Setiausaha Tetap KBSS), Encik Muadzad Shahrom Muhasip (Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Belia KBSS), Encik Zainuddin Atin (Mewakili Timbalan Pengarah JBS (P) Negeri Sabah), Tuan Fedrius Jumi (Penolong Pengarah (Sukan), JBS (P) Negeri Sabah), Encik Ryandie Angsukup (Mewakili Penolong Pengarah (Rakan Muda) JBS (P) Negeri Sabah), Encik Muhd Firdaus Kassim (Timbalan Pengurus Besar, wakil Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah) dan Saudara Abqaree Fawwaz Bin Abekan (Timbalan Presiden MBS).

Rasuah merupakan masalah yang perlu diatasi dengan penuh penelitian kerana ia adalah punca kepada rosaknya sifat kebaikan dalam diri seseorang.  Oleh itu, Kempen Belia Rasuah Busters ini wajar diimplementasikan secara berterusan di Malaysia khususnya di Sabah. Belia perlu sedar yang mereka mempunyai kuasa untuk mengubah  dinamik sosial dan politik dalam memerangi rasuah. Seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Tetap KBSS dalam ucapan beliau, “Belia sendiri harus menjadi ‘polis tambahan’ dalam menangani isu rasuah. Akan tetapi, jangan pula belia bertindak diluar lunas undang-undang dan perlu mengikuti prosedur sebelum melaporkan jenayah rasuah. Beliau juga yakin bahawa kekuatan Majlis Belia Sabah beserta Badan – Badan Gabungan mempunyai keupayaan untuk menjadikan rasa benci dan jijik terhadap rasuah ini sebagai ‘norma baharu’ dalam kalangan belia.”

“Biarlah ia menjadi SOP pertubuhan belia di Sabah untuk sentiasa mengamalkan integriti dan serius dalam urus tadbir pertubuhan serta sentiasa prihatin dengan isu semasa.”

“Bagi saya ini adalah suatu permulaan yang baik untuk meluaskan lagi konsep rasuah yang bukan sekadar laungan kosong tetapi disusuli dengan tindakan.”, katanya dalam Majlis Pelancaran tersebut.

Begitu pentingnya keterlibatan belia dalam melestarikan dunia sejagat kerana belia merupakan karakter utama yang akan memainkan peranan sebagai pemimpin masa hadapan dan juga ‘enjin sosial’ dalam membentuk dan menggerakkan sesuatu bangsa tidak kira di Malaysia mahupun di peringkat global. Justeru itu, anak-anak muda janganlah sesekali merasa kecil dalam menjadi sebahagian daripada perubahan kerana bangunan yang indah dan gah tidak akan berdiri jika tidak bermula daripada sebutir pasir.

 

 

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close