TEKS UCAPAN PRESIDEN MAJLIS BELIA SABAH SDR. AHMAD FARID SAINURI SEMPENA HARI BELIA NEGERI SABAH 2021

UCAPAN PRESIDEN MAJLIS BELIA SABAH SEMPENA HARI BELIA NEGERI SABAH
[ SALUTASI ]
Assalamualaikum wbt
Salam sabah maju jaya
Salam belia sabah berwibawa
Kopi tenom membugar minda,
Dihirup segar bersama si dia,
Lafaz bismillah pembuka kata,
Selamat datang ke hari belia!
Selamat datang ke hari belia negeri sabah 2021. Sebuah majlis yang sangat dinantikan sebagai menifestasi meraikan peranan anak muda malaysia di negeri di bawah bayu. Hari yang cukup berbahagia ini menjadi lebih bermakna apabila diserikan dengan kehadiran yab ketua menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor sebagai pelengkap acara sambutan hari belia negeri Sabah pada tahun ini.
Sepanjang kepimpinan datuk seri panglima yang juga merupakan penaung majlis belia sabah, beliau senantiasa memberi sokongan penuh kepada inisiatif pembangunan belia. Pada julai 2021, yab ketua menteri sendiri telah turun padang menyertai gerakan kemanusiaan dapur belia majlis belia sabah. Sumbangan kerajaan negeri dalam usaha ini telah berjaya memberi manfaat kepada lebih 75,000 penerima bantuan sepanjang 4 siri dapur belia mbs dijalankan bagi meringankan beban mereka yang terkesan sepanjang pandemik.
Selain daripada itu, masih jelas dalam ingatan saya, kunjungan hormat pertama Majlis Belia Sabah kepada Yab Ketua Menteri pada disember tahun lepas bukan sahaja menjadi medan percambahan idea, malah cadangan kami untuk penganjuran program latihan belia berimpak tinggi (Felo Belia) juga diangkat menjadi salah satu inisiatif pembangunan modal insan di bawah hala tuju sabah maju jaya. Saya pasti ada berita baik yang akan diumumkan sebentar lagi.
YAB Datuk Seri Panglima,
Hadirin yang dihormati sekalian.
Bertepatan dengan visi “Sabah Maju Jaya” Yang diilhamkan sendiri oleh yab ketua menteri, kami sebulat suara mempersetujui tema “belia sabah maju jaya” Sebagai slogan keramat bukan sahaja sebagai motto hari belia negeri sabah 2021, akan tetapi diangkat sebagai sebuah matlamat yang perlu dicapai bersama. Anak muda sabah mesti, mahu tidak mahu, mesti maju dan berjaya!
Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kementerian belia dan sukan sabah pimpinan datuk ellron angin yang telah menghakupaya pergerakan belia melalui majlis belia sabah bukan sahaja dalam menjayakan hari belia negeri, malah dengan penganjuran pelbagai program pembangunan belia yang lain. Tidak dilupakan sokongan berterusan daripada jabatan belia dan sukan persekutuan negeri sabah kepada majlis belia sabah sebagai badan induk pertubuhan belia di negeri ini.
Sejak bermulanya sambutan hari belia negeri sabah pada tanggal 5 september 2021 sehinggalah 5 november 2021, pelbagai aktiviti diperkenalkan melalui 6 segmen utama iaitu e-workshop, e-contest, e-commerce, e-sports, e-talent dan e-deen. Ianya disusuli dengan segmen khas gaya hidup sihat dan modal insan. Walaupun penganjuran program dalam norma baharu ini cukup mencabar, alhamdulillah, dengan memanfaatkan kemudahan teknologi, kita berjaya mendapatkan capaian lebih 1.13 juta orang belia di laman facebook rasmi majlis belia sabah sebagai pengunjung sepanjang sambutan hari belia negeri sabah berlangsung pada tahun ini.
Sejarah juga bakal tercipta apabila hari belia negeri sabah 2021 bakal menerima penganugerahan Malaysian Book Of Records dengan rekod penganjuran persembahan bakat belia selama 24 jam tanpa henti secara atas talian. Usaha ini bukan hanya untuk mendapatkan rekod semata, akan tetapi bertujuan untuk mengetengahkan bakat belia sabah yang mampu membina keyakinan diri mereka malah dijadikan sumber pendapatan.
Saya rakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak kementerian, pasukan penganjur pimpinan timbalan presiden majlis belia sabah, badan gabungan Majlis Belia Sabah dan para penggerak belia seluruh sabah atas kejayaan ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seiring dengan hala tuju sabah maju jaya, kerajaan negeri telah meletakkan pembangunan modal insan sama penting bersama sektor industri dan pembangunan infrastruktur. Bagi mencapai matlamat ini, majlis belia sabah mencadangakan 3 saranan:
Saranan pertama: Mengangkat isu kesihatan mental dalam kalangan belia sebagai agenda arus perdana rentas kementerian dan agensi di negeri sabah.
Data yang telah dikeluarkan oleh kementerian kesihatan malaysia pada tahun 2015 menunjukkan sabah menduduki tangga tertinggi dalam jumlah pesakit mental. Dan yang lebih menggerunkan adalah sepanjang pandemik melanda, kes bunuh diri melonjak naik sebanyak 20% seluruh negara berbanding tahun 2019. Lebih malang lagi, majoriti mangsa pula adalah dalam kalangan belia.
Saranan kedua: Penubuhan jawatankuasa khas pengangguran, ekonomi dan belia (NEEET) – Not In Education, Employment, Entrepreneurship And Training
Pada tahun 2019, kadar pengangguran di negeri sabah adalah pada kadar 5.8%. Data ini perlu diberi perhatian kerana ianya merupakan antara yang tertinggi di malaysia. Disamping itu, persiapan kita menghadapi perpindahan ibu kota indonesia ke kalimantan juga harus disegerakan agar kita menerima limpahan ekonomi secara positif dan bukanya gejala brain drain apabila belia sabah terpaksa mencari pekerjaan di negara jiran.
Saranan ketiga: Pengiktirafan pekerja belia (youth worker) sebagai kerjaya profesional
Sabah sebagai negeri yang relatifnya muda kerana dihuni oleh lebih 40% warga yang berumur bawah 40 tahun. Mereka yang bekerja atau menyumbang kepada pembentukan sahsiah belia wajar diiktiraf sebagai kerjaya profesional agar dapat menyumbang semula kepada ekonomi negeri.
Saya berharap 3 saranan ini dapat pertimbangan sewajarnya daripada YAB Ketua Menteri.
Memetik ungkapan hikmah “it takes a village to raise a child”, membentuk remaja dan belia bukanlah tugas sebuah ngo, sebuah kementerian atau seorang menteri sahaja. Ianya melibatkan usahasama merentas kementerian, agensi, ngo/cso dan individu. Semoga usaha berterusan untuk membangun modal insan seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat direalisasikan bagi melahirkan belia yang mandiri dan berinovasi.
Buah tarap buah bambangan,
Enak dimakan bersama keluarga,
Mari kita mara kehadapan,
Demi nusa malaysia yang tercinta.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum wbt
Belia sabah maju jaya,
Dekad ini dekad anda!

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close