TEKS UCAPAN YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI BIN HAJI NOOR SEMPENA HARI BELIA NEGERI SABAH 2021

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Keluarga Malaysia dan salam Sabah Maju Jaya.
[ SALUTASI ]
1. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T atas limpah kurnia-Nya kita dapat berhimpun di majlis yang cukup bermakna ini. Hari Belia Negeri Sabah merupakan satu sambutan bagi meraikan dan mengiktiraf kedudukan serta peranan signifikan generasi muda sebagai aset terpenting bagi Negeri Sabah. Saya sangat berbesar hati dapat bersama anda semua, baik yang menyertai secara fizikal atau dalam talian.
2. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Belia Negeri Sabah 2021, yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Berhormat Datuk Ellron Angin, Menteri Belia dan Sukan Sabah atas penganjuran yang amat bermakna ini. Saya difahamkan juga sambutan kali ini telah digerakkan oleh anak muda melalui penghakupayaan (empowerment) kepada Majlis Belia Sabah sebagai pelaksana utama. Tahniah dan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan Majlis Belia Sabah dan badan-badan gabungannya di semua peringkat.
Tuan-tuan dan puan,
3. Belia adalah aset yang amat penting untuk tanah air. Kita sering mendengar kata-kata bahawa belia adalah generasi pewaris masa depan. Saya amat bersetuju, dan bagi saya, kita jangan sesekali lupa bahawa masa depan itu bermula pada hari ini. Atas sebab itu, saya amat mengalu-alukan pemilihan tema sambutan yang amat bertepatan iaitu β€˜Belia Sabah Maju Jaya, Dekad Ini Dekad Anda’. Tema ini membawa nilai dan makna betapa pentingnya kita memberikan pendedahan dan melibatkan anak-anak muda kita dalam arus perdana pembangunan tanah air sekali gus memberikan fokus kepada usaha pembinaan potensi diri golongan ini.
4. Atas keprihatinan itu, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) meletakkan pembangunan modal insan sama sebagai salah satu daripada tiga teras utama pelan pembangunan negeri bagi tempoh 2021 hingga 2025.
5. Pelbagai inisiatif sedang dan akan dilaksanakan untuk mencapai hasrat tersebut. Antara langkah baharu yang telah mula dilaksanakan adalah pemberian Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 setiap seorang, dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM sebanyak RM200 seorang. Kita yakin bahawa bidang pendidikan adalah pelaburan paling bernilai dalam jangka masa panjang. Pemberian bantuan ini bagi memastikan tidak ada yang tercicir dalam menerima akses kepada pendidikan berkualiti.
Tuan-tuan dan puan,
6. Dalam mendepani keperluan semasa, kerajaan juga komited untuk melahirkan belia yang cemerlang dan bermotivasi tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Atas dasar itu, suka saya maklumkan sebuah ruang reka β€˜flagship’ berkeluasan 6,300 kaki persegi di bangunan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) bakal dibina di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi membantu memacu industri melalui 3 teras utama iaitu inovasi, teknologi dan kreativiti.
7. Dalam masa sama, Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan Program Jaringan Digital Nasional (JENDELA). Setakat ini, sebanyak 78 menara telekomunikasi telah siap dibina dan sejumlah 510 lagi masih dalam proses pembinaan bagi meningkatkan capaian 4G di negeri ini sebanyak 90 peratus. Bagi menaiktaraf lokasi sedia ada pula, sebanyak 2,196 lokasi telah siap dinaik taraf kepada 4G daripada 3,500 lokasi yang telah dirancang. Manakala bagi menaiktaraf premis kepada capaian gentian optik pula, sebanyak 103,281 premis telah siap dilaksanakan daripada 251,165 premis yang telah dirancang. Pencapaian ini dijangka akan meningkat menjelang penghujung tahun 2021 dan seterusnya pada tahun 2022.
8. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyediakan kemudahan VSAT bagi melengkapkan program JENDELA. Kerajaan melaksanakan semua ini bagi memastikan rakyat khususnya golongan pelajar dan belia tidak tercicir dalam perkembangan teknologi semasa dan mendapat sepenuhnya akses kepada bahan dan sumber rujukan pendidikan.
Tuan-tuan dan puan,
9. Pada masa yang sama, sebagai salah satu strategi untuk memberikan pendedahan dan membina potensi serta ketrampilan diri belia, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ). Program ini bertujuan memberi peluang kepada belia yang terpilih melalui saringan kelayakan untuk mendapat bimbingan langsung daripada para menteri dan pengurusan tertinggi kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
10. Melalui program ini, Felo Belia SMJ akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan GLC selama setahun untuk mendapat pendedahan alam kerjaya termasuk berkaitan pengurusan sesebuah kementerian dan GLC. Program ini akan bermula pada bulan Januari 2022 di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah. Saya berharap para belia merebut peluang ini untuk menimba ilmu dan juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri dan negara.
11. Saya amat tertarik dengan cadangan pelaksanaan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) yang dirancang bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah. Saya berharap pelaksanaan program rintis ini dapat dipantau dengan rapi, ditambah baik dan seterusnya diinstitusikan sebagai salah satu program teras pembangunan modal insan di kalangan para belia
.
12. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi dan pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan di kalangan para belia. Sehubungan itu, kita sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda. Dalam Belanjawan Negeri Tahun 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember 2021 nanti, kita akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang dirangka dengan berpandukan syor dan pandangan kelompok sasar melalui pelbagai platform libat urus yang telah dilaksanakan. Antaranya, inisiatif yang melibatkan pembangunan pemerkasaan latihan kemahiran dalam bidang tekonologi, teknikal dan perdagangan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM). Begitu juga, kita akan membantu para usahawan belia dan beliawanis yang terkesan secara langsung dengan pandemik COVID-19 melalui skim bantuan dana khusus. Selaku Ketua Kerajaan di peringkat negeri, besar harapan saya agar para belia dapat bersama-sama dengan Kerajaan untuk menjayakan segala perancangan demi mancapai Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Tuan-tuan dan puan,
13. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YB Menteri dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah beserta seluruh pasukan KBSS, Majlis Belia Sabah dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran sambutan ini. Marilah kita berganding bahu, bersatu padu untuk membina Keluarga Malaysia yang Makmur dan Negeri Sabah yang lebih maju dan berjaya.
Dengan lafaz Bismillahirahmannirahim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Belia Negeri Sabah 2021.
Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close