Tinta Presiden MBS – Darurat: Kelompok Marginal dan Rentan Perlu Empati

Ahmad Farid Sainuri

 

[[Untuk Hebahan Segera]]

Tinta Presiden Majlis Belia Sabah
15 Jan 2021

Darurat: Kelompok Marginal dan Rentan Perlu Empati

1. Pengisytiharaan Proklamasi Darurat yang telah dikeluarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong adalah sebuah keputusan yang perlu dihormati sesuai dengan prinsip Rukun Negara (Kesetiaan kepada Raja dan Negara) yang dipegang oleh setiap rakyat Malaysia

2. Namun, sebagaimana semua sedia maklum, antara implikasi Proklamasi Darurat ini adalah ketiadaan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang merupakan tunjang kepada amalan demokrasi di Malaysia. Hal ini adalah kerana, di medan tersebutlah berlaku proses semak dan imbang bagi memastikan hak demokratik rakyat terus terjamin (check and balance)

3. Justeru, timbul kegusaran mengenai bagaimana kebajikan kelompok marginal dan terkesan dapat disantuni dengan berkesan. Kelompok ini antaranya adalah (tidak terhad):

i) Orang Tanpa Dokumen / Tanpa Warganegara

Nasib Kumpulan ini tidak banyak beza sebelum atau selepas Covid-19 melanda. Anak-anak sememangnya terbiar tanpa pendidikan, makanan serba kekurangan, sanitasi tiada dan hidup daif. Apa yang merisaukan adalah golongan ini tidak layak mendapat bantuan kerajaan baik kebajikan atau kesihatan bersubsidi. Risiko penyakit lain untuk menular dalam komuniti ini sangat tinggi.

Lebih merisaukan adalah hampir 1.1 juta penduduk daripada 3.9 juta penduduk Sabah adalah bukan warganegara, atau 28 peratus – jauh lebih tinggi daripada negeri kedua dari segi peratusan di Kuala Lumpur dengan 12.8 peratus (lebih 220,000 orang), atau dari segi jumlah di Selangor, lebih 580,000 orang (8.9 peratus). Isu ini adalah bom jangka yang boleh meletup bila – bila masa. Ianya perlu diurusakan dengan berkesan dan bersungguh terutamanya dalam mendepani pandemik Covid-19

ii) Penduduk luar bandar / diluar akses jalan dan talian

Tidak cukup dengan kisah Sdri. Veveonah, pada Nov tahun lepas, 3 pelajar di Ranau terjatuh daripada jambatan gantung ketika dalam perjalanan mendapatkan akses internet untuk sesi pembelajaran atas talian. Isunya tidak terhad kepada akses internet, akan tetapi adalah isu pendidikan berkualiti.

Selain daripada isu pendidikan, aktiviti ekonomi yang terbantut dan peluang untuk mendapatkan pendedahan daripada luar juga tertutup sepanjang PKP dijalankan. Perlu ada perancangan jelas mengenai masa depan pendidikan negara dan pembinaan kapasiti khususnya buat remaja dan belia yang di kawasan pedalaman seluruh Negara.

ii) Kumpulan miskin bandar

Golongan ini bukan sahaja berisiko daripada aspek masalah sosial, malah berisiko tertinggal dalam pengajian. Ada antara keluarga miskin bandar ini yang tidak mempunyai telefon pintar lebih untuk kelas atas talian anak-anak. Lebih menyedihkan apabila ada yang langsung tidak mampu membeli data. Meskipun ada inisiatif pihak kerajaan bagi membantu golongan B40 mendapatkan data untuk pengajian, perlu diingat, ramai “Fakir Terjun” di bandar-bandar besar kini gara-gara kehilangan sumber pendapatan. Mereka tidak sempat pun berdaftar dengan e-Kasih.

Tekanan hidup dengan sewa dan harga rumah yang mahal di bandar – bandar besar juga menjadi bebanan yang boleh menganggu kesihatan mental. Fakta ini disokong dengan kenaikan Panggilan Kasih yang meningkat sekali ganda daripada 6,770 kepada 12,240 pada Oktober 2020. Hal ini juga membuktikan perlu dikerahkan lagi kekuatan agensi dalam menyantuni panggilan dan laporan mereka yang terkesan dengan berkesan. Laporan perlu diselesaikan, bukan direkodkan semata-mata.

iv) Belia (Pelajar, Graduan dan Pencari Pekerjaan)

Ketidaktentuan nasib golongan ini sangat menggusarkan. Bukan sahaja mereka bakal menjadi pelajar yang paling kurang interaksi sosial, malah mungkin ketinggalan. Perubahan keperluan industri yang mendadak telah mengakibatkan mereka menjadi graduan dengan skill-set tidak relevan / tidak mempunyai permintaan pasaran. Tanpa gesaan upskilling yang agresi daripada agensi kerajaan yang berkaitan, statistik pengangguran pasti akan meningkat hatta pandemik sudah reda

Selain daripada yang masih menuntut di institusi pengajian, mereka yang diluar institut pendidikan juga berhempas pulas untuk mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan yang hampir tiada. Menggesa mereka untuk menjadi usahawan bukanlah solusi tuntas untuk masalah ini. Data menunjukkan 92.13 peratus usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu. Ini belum lagi dikira risiko gagal dalam perniagaan dengan risiko hutang. Usaha untuk memperkenalkan industri baharu dan peluang pekerjaan baharu perlu di lipatgandakan.

v) Usahawan Kecil dan Sederhana / Usahawan OKU

Kumpulan ini memerlukan stimulus baharu secepat mungkin. Di Sabah sahaja, kumpulan ini mewakili 90% pengusaha pengeluaran dan perkhidmatan. Bayangkan berapa banyak pekerja yang telah dibuang sejak perniagaan mereka merudum.

Pengusaha di luar bandar dan usahawan OKU juga perlu bantuan yang komprehensif. Sekiranya kaedah permohonan tidak dipermudah dan direka khas untuk kumpulan ini, pasti lebih ramai yang akan gulung tikar.

Terdapat juga para pengusaha yang terhenti kemasukan Perkeso Prihatin padahal mereka membayar penuh gaji para pekerja seperti yang diwajibkan.

4. Empati pihak berwajib dalam menyantuni keperluan rakyat adalah sangat diperlukan agar tiada seorang pun yang tertinggal. Keperluan setiap kumpulan perlu difahami dan diselesaikan dengan kesanggupan politik (political will). Selain daripada itu, perlu diperhalusi PKP yang lebih berkesan dan seimbang dengan keperluan kesihatan dan kebajikan rakyat untuk meminimakan implikasi pengurusan bencana ini.

5. Majlis Belia Sabah akan terus mendukung inisiatif kerajaan untuk memastikan kita menang dari aspek kesihatan, ekonomi dan pastinya kestabilan politik.

Ahmad Farid Sainuri
Presiden
Majlis Belia Sabah

ahmadfaridsainuri@gmail.com
beliasabah@gmail.com

Kongsi:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Tabung Sumbangan Misi Belia Prihatin

Sumbangan daripada anda amatlah dialu-alukan. Setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Close